fb fb fb fb fb

Parti pemerintah Jepun hilang majoriti Dewan Kaunselor

Foto REUTERS

TOKYO, 21 Julai -Gabungan parti pemerintah Jepun dijangka kehilangan majoritinya dalam Dewan Kaunselor susulan pilihan raya pada Ahad, satu keputusan yang bakal meningkatkan tekanan ke atas Perdana Menteri Shigeru Ishiba yang sedang bergelut dan tetap bertegas untuk terus memegang jawatan walaupun partinya menerima satu lagi tamparan hebat.

Menurut Kyodo News, peluang Ishiba semakin tipis apabila semua parti pembangkang utama menolak untuk menyertai Parti Demokratik Liberal (LDP) dan rakan gabungannya Komeito dalam membentuk pakatan lebih luas.

Gabungan parti pemerintah kini kehilangan kawalan majoriti dalam kedua-dua dewan Parlimen – Dewan Kaunselor dan Dewan Perwakilan yang lebih berkuasa – satu keadaan yang jarang berlaku dalam politik pascaperang Jepun. Sokongan pembangkang kini menjadi lebih penting untuk meluluskan rang undang-undang dan belanjawan.

LDP dan Komeito gagal mencapai sasaran awal mereka untuk memenangi sekurang-kurangnya 50 daripada 125 kerusi yang dipertandingkan bagi mencapai ambang majoriti dalam Dewan Kaunselor.

LDP dilihat kehilangan sokongan dalam kalangan pengundi konservatif apabila parti populis berhaluan kanan, Sanseito, mula muncul sebagai alternatif.

Walaupun memperjuangkan slogan "Japanese First" dan agenda dasar nasionalis yang menyasarkan warga asing – yang dikritik sebagai xenofobia – kekuatan Sanseito dalam Dewan Kaunselor meningkat melepasi 10 kerusi, tahap yang membolehkannya mengemukakan rang undang-undang di dewan berkenaan.

Pilihan raya itu dilihat sebagai petunjuk keyakinan pengundi terhadap kerajaan minoriti yang baru beberapa bulan memerintah, di tengah-tengah rasa tidak puas hati terhadap isu kenaikan harga barang, pertumbuhan gaji yang tidak mencukupi dan kemajuan terhad dalam rundingan berkaitan tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

“Kita perlu menerima keputusan ini dengan rendah hati,” kata Ishiba dalam satu program televisyen, sambil menambah bahawa LDP mesti memenuhi tanggungjawabnya sebagai parti pemerintah.

Ketika keputusan awal dan unjuran media mula diumumkan, Ketua Parti Demokratik untuk Rakyat (DPP), Yuichiro Tamaki, menyatakan bahawa pembentukan gabungan dengan parti pemerintah adalah “tidak mungkin sama sekali.” Partinya, yang sebelum ini terlibat dalam penyelarasan dasar dengan kerajaan, berjaya meningkatkan jumlah kerusinya empat kali ganda daripada empat.

Menurut Kyodo, pemimpin dua lagi parti pembangkang utama – Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDPJ) dan Parti Inovasi Jepun (JIP) – turut mengambil pendirian negatif terhadap penyertaan dalam gabungan parti pemerintah.

Ketua Sanseito, Sohei Kamiya, dalam program televisyen lain menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan LDP mengikut kesesuaian dasar tertentu.

Peratusan keluar mengundi dianggarkan pada 58.52 peratus setakat 4 pagi Isnin, lebih tinggi berbanding 52.05 peratus dalam pilihan raya Dewan Kaunselor sebelum ini pada 2022. Sebanyak 26 juta rakyat Jepun mengundi awal, rekod tertinggi dalam pilihan raya yang berlangsung sempena cuti hujung minggu tiga hari.

Ahli Dewan Kaunselor berkhidmat selama enam tahun dan tidak boleh dibubar, berbeza dengan Dewan Perwakilan yang boleh dibubarkan oleh perdana menteri. Separuh daripada ahli Dewan Kaunselor akan digantikan melalui pilihan raya yang diadakan setiap tiga tahun bagi mengelakkan pertukaran keseluruhan ahli secara serentak.

Daripada 125 kerusi itu, sebanyak 75 akan dipilih melalui daerah pilihan raya dan 50 lagi menerusi perwakilan berkadar. Kira-kira 520 calon bertanding merebut kerusi berkenaan.

Pengundi akan membuang dua undi — satu untuk memilih calon bagi daerah pilihan raya masing-masing manakala satu lagi untuk perwakilan berkadar, dengan kerusi diagihkan berdasarkan jumlah undi yang diterima oleh setiap parti dan calon yang disenaraikan. - BERNAMA

 

TETITIA YUSOFF