KILIS, 3 Ogos - Wilayah Kilis di selatan Turkiye menjadi tuan rumah majlis rasmi pelancaran aliran gas asli dari Azerbaijan ke Syria melalui saluran paip merentasi wilayah Turkiye, pada Sabtu.
Rakaman video menunjukkan detik bersejarah majlis yang berlangsung di kemudahan tenaga tersebut.
Majlis dihadiri Menteri Tenaga Turkiye, Alparslan Bayraktar; Menteri Tenaga Kerajaan Peralihan Syria, Mohammad al-Bashir; Menteri Ekonomi Azerbaijan, Mikayil Jabbarov; dan Ketua Pengarah Dana Pembangunan Qatar, Fahd al-Sulaiti.
Sebelum ini, al-Bashir menandatangani memorandum persefahaman bersama pegawai Azerbaijan untuk syarikat minyak dan gas negara itu, SOCAR, bagi membekalkan enam juta meter padu gas setiap hari.
Namun, pihak berkuasa Syria mengesahkan aliran awal dikurangkan kepada 3.4 juta meter padu sehari berikutan isu teknikal di Azerbaijan.
Syria kini berdepan kekurangan tenaga elektrik yang kronik, dengan defisit bekalan mencecah 80 peratus daripada permintaan sebenar, kesan berpanjangan daripada perang saudara dan krisis ekonomi yang semakin meruncing.-VIORY