fb fb fb fb fb

Rusuhan di Perancis: Tuntutan insurans lebih US$700 juta

(FOTO AFP)

PARIS, 12 Julai- Kerosakan akibat rusuhan yang tercetus di Perancis susulan kes seorang remaja ditembak mati oleh polis menyebabkan tuntutan insurans terus meningkat mencecah US$715 juta, kata sebuah badan industri.

Terdapat 11,300 tuntutan yang dikaitkan dengan rusuhan itu, kata Ketua Persekutuan Assureurs Perancis Florence Lustman yang meletakkan nilai tuntutan berjumlah 650 juta euro.

Minggu lalu, Lustman memberikan angka sekurang-kurangnya 280 juta euro dan menegaskan bahawa banyak tuntutan masih belum dibuat.

Kira-kira satu pertiga daripada kerosakan yang dituntut berlaku pada harta pihak berkuasa tempatan, kata France Assureurs.

Awal bulan ini, Menteri Kewangan, Bruno Le Maire menggesa syarikat insurans supaya melanjutkan tarikh akhir untuk membuat tuntutan.

Rusuhan itu menandakan keganasan bandar paling sengit di Perancis dalam hampir dua dekad, dengan kereta dibakar, bangunan rosak dan ruang awam dirosakkan di seluruh negara.

Minggu lalu, sebuah jawatankuasa Pertubuhan Bangsa Bersatu menggesa Perancis memastikan siasatan kes berkenaan adalah "teliti dan tidak berat sebelah", dan menggesa pemprofilan kaum diharamkan.

Jawatankuasa PBB mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum menyatakan kebimbangan mengenai "profil kaum dan penggunaan kekerasan yang berlebihan oleh penguatkuasaan undang-undang".

Remaja lelaki yang ditembak mati, Nahel M, 17, berasal dari pinggir bandar Nanterre di barat Paris dan dilaporkan berketurunan Algeria. -AFP

(Kerosakan akibat rusuhan yang tercetus di Perancis susulan kes seorang remaja ditembak
mati polis menyebabkan tuntutan insurans mencecah US$715 juta/REUTERS)

Media Baharu