fb fb fb fb fb

Korea Utara lepaskan 'peluru berpandu balistik tidak dikenali'

(FOTO AFP)

SEOUL, 12 Julai- Korea Utara telah melepaskan peluru berpandu balistik, kata tentera Seoul pada Rabu, beberapa hari selepas Pyongyang mengancam untuk menembak jatuh pesawat pengintip Amerika Syarikat (AS) yang menceroboh ruang udaranya.

"Korea Utara melepaskan peluru berpandu balistik tidak dikenali ke arah Laut Timur," kata Ketua Turus Bersama, merujuk kepada kawasan yang juga dikenali sebagai Laut Jepun.

Sebagai tindak balas, Seoul dan Washington telah berikrar Pyongyang akan menghadapi tindak balas nuklear yang menggulingkan kerajaan semasa di Korea Utara jika ia menggunakan senjata nuklearnya terhadap kepentingan Korea Selatan dan AS.

Isnin lepas, Korea Utara menuduh pesawat pengintip AS memasuki ruang udaranya dan mengecam rancangan Washington untuk menempatkan kapal selam peluru berpandu nuklear berhampiran Semenanjung Korea.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Utara berkata, AS telah "memperhebat aktiviti pengintipan melebihi tahap perang", merujuk penerbangan "provokatif" yang dibuat oleh pesawat pengintip AS selama lapan hari berturut-turut bulan ini dan sebuah pesawat peninjau yang menceroboh ruang udaranya di Laut Timur "beberapa kali".

"Tidak ada jaminan bahawa 'kemalangan' yang mengejutkan seperti pesawat peninjau strategik Tentera Udara AS ditembak jatuh tidak akan berlaku di Laut Timur Korea," kata jurucakap itu dalam satu kenyataan yang disiarkan Agensi Berita Pusat Korea.

Adik kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, Kim Yo Jong berkata, pesawat pengintip AS telah melanggar ruang udara timur negara itu dua kali pada pagi Isnin, menurut satu kenyataan berasingan.

(Korea Utara lepaskan 'peluru berpandu balistik tidak dikenali'/AFP)

Kim Yo Jong berkata Korea Utara tidak akan bertindak balas secara langsung kepada aktiviti peninjauan AS di luar zon ekonomi eksklusif negara itu, tetapi memberi amaran akan mengambil "tindakan tegas" jika tentera AS melepasi garisan persempadanan tentera maritimnya.

Washington berkata pada April bahawa salah satu kapal selam balistik bersenjata nuklearnya akan melawat pelabuhan Korea Selatan buat kali pertama dalam beberapa dekad, tanpa menyatakan tarikh yang tepat.

Korea Utara telah melanggar sekatan dengan menjalankan beberapa pelancaran peluru berpandu tahun ini, termasuk menguji peluru berpandu balistik antara benua paling berkuasa, dan cuba meletakkan satelit pengintip tentera ke orbit pada bulan Mei.

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol meningkatkan kerjasama pertahanan dengan Washington sebagai tindak balas, antaranya menerusi latihan ketenteraan bersama dengan jet siluman canggih dan aset strategik berkuasa tinggi milik AS.

Yoon akan menghadiri Sidang Kemuncak NATO di Lithuania minggu ini untuk menjalin kerjasama lebih kukuh dengan anggota perikatan itu, menurut kenyataan pejabatnya.

Korea Selatan dan AS juga akan memulakan latihan ketenteraan bersama tahunan utama mereka, yang dikenali sebagai Ulchi Freedom Shield, bulan depan.

Korea Utara melihat semua latihan itu sebagai raptai pencerobohan dan menyifatkannya sebagai simulasi perang habis-habisan terhadap Pyongyang. - AFP

Media Baharu