fb fb fb fb fb

Rusia tembak jatuh dua dron

(Pemandangan blok pejabat Pusat Perniagaan Antarabangsa Moscow
yang rosak berikutan serangan dron di Moscow pada 1 Ogos 2023/Foto AFP)

MOSCOW, 9 Ogos- Dua dron ditembak jatuh pada Rabu, serangan terbaharu yang menyasarkan ibu negara Rusia.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin menerusi Telegram.

"Dua percubaan dron tempur untuk terbang ke bandar telah direkodkan. Kedua-duanya ditembak jatuh oleh pasukan pertahanan udara," kata Sobyanin tanpa menamakan penyerangnya.

Beliau berkata satu dron ditembak jatuh di kawasan Domodedovo, di pinggir selatan bandar itu.

Manakala yang kedua ditembak jatuh di kawasan lebuh raya Minsk, barat ibu negara.

"Buat masa ini, tiada maklumat mengenai mangsa terlibat akibat serpihan dron yang ditembak," katanya sambil menambah perkhidmatan kecemasan sudah berada di lapangan.

(Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin/Foto fail AFP)

Menurut pegawai Rusia, serangan itu merupakan yang ketiga ke atas Moscow dalam tempoh seminggu, dengan dron Ukraine ditembak jatuh pada Ahad dan Isnin.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia pada Khamis memberitahu telah menjatuhkan tujuh dron di wilayah Kaluga, kurang 200 kilometer di barat daya Moscow.

Pada 30 Julai, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memberi amaran bahawa "perang" akan datang ke Rusia, dengan "pusat simbolik dan pangkalan tentera" negara itu menjadi sasaran.

Awal bulan ini, sebuah blok pejabat di daerah perniagaan utama ibu kota rosak akibat serangan dron.-AFP

Media Baharu