fb fb fb fb fb

Rusia reman tentera AS atas tuduhan mencuri

Tentera Amerika Syarikat, Gordon Black yang direman Rusia kerana mencuri/ Foto www.themoscowtimes.com

MOSCOW, 7 Mei - Kerajaan Rusia mereman seorang tentera Amerika Syarikat (AS) sehingga Julai depan selepas ditahan kerana disyaki mencuri di timur bandar Vladivostok.

Tentera Amerika Syarikat (AS) berkata, tentera berkenaan yang dikenali sebagai Gordon Black ditahan atas tuduhan jenayah.

Penahanan tentera tersebut menjadikan bilangan warga AS yang ditahan di Rusia semakin bertambah susulan ketegangan hubungan Washington-Kremlin berhubung pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.

Jurucakap mahkamah wilayah Primorye, Elena Oleneva berkata Black telah ditahan pada Selasa lepas dan bakal ditahan dalam tahanan praperbicaraan sehingga 2 Julai kerana mencuri, lapor agensi berita kerajaan, Ria Novosti.

Sementara itu, seorang wakil kementerian luar Rusia di Vladivostok memberitahu agensi berita TASS kes itu tidak dikaitkan dengan politik.

“Kes ini tidak ada kaitan dengan politik atau pengintipan.

"Oleh itu, Kementerian Luar Rusia di Vladivostok tidak mengikuti nasib warga AS itu dengan teliti", kata wakil berkenaan.

Pihak berkuasa Rusia telah menahan beberapa warga AS dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengkritik menuduh Moscow menggunakan tahanan sebagai alat tawar-menawar untuk pertukaran dengan warga Rusia yang dipenjarakan di Amerika Syarikat.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD