BERLIN, 7 Mei - Jerman akan menghantar dua kapal perangnya ke wilayah Indo-Pasifik pada Selasa dalam usaha memperkuatkan kekuatan tenteranya di wilayah berkenaan susulan ketegangan hubungan diantara China dan Taiwan berhubung pertikaian Laut China Selatan.
Menurut Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius ketegangan yang berlaku antara kedua-dua negara telah memberi kesan kepada pelayaran dan perdagangan di lautan berkenaan.
"Kehadiran kapal-kapal perang ini adalah untuk menyokong peraturan antarabangsa. Kehadiran tersebut perlulah dilihat sebagai sesuatu yang penting", kata Pistorius kepada pemberita di Pangkalan Tentera Laut Jerman di Wilhelmshaven.
Kedua-dua kapal tersebut, Frankfurt am Main akan berlepas dari Wilhelmshaven, manakala kapal frigat Baden-Wuerttemberg berlepas dari Pelabuhan Sepanyol di Rota.
Kapal-kapal tersebut kemudiannya akan bertemu dan meneruskan pelayaran melalui Halifax di Kanada dan seterusnya ke Indo-Pasifik.
Kapal-kapal itu akan melalui Laut China Selatan, namun tiada sebarang pengesahan berkaitan pelayaran melalui Selat Taiwan seperti yang telah dilakukan oleh Amerika Syarikat.
Sekiranya Jerman mengambil keputusan untuk belayar melalui Selat Taiwan, ia akan menimbulkan kemarahan kepada China yang merupakan rakan dagang utama Jerman.
"Laluan Selat Taiwan adalah satu pilihan memandangkan terdapat beberapa tentera laut bersekutu yang telah melaluinya.Tiada sebarang keputusan dibuat berhubung belayar melalui Selat Taiwan",ujar Pistorius.
Pada 2021, sebuah kapal perang Jerman belayar melalui Laut China Selatan buat kali pertama dalam tempoh hampir 20 tahun, menyertai negara Barat lain dalam meluaskan kehadiran tentera di rantau itu di tengah-tengah kebimbangan terhadap cita-cita pemilikan sempadan wilayah oleh China-REUTERS