fb fb fb fb fb

Rusia mula tempatkan senjata nuklear taktikal di Belarus

(FOTO HIASAN / REUTERS)

MOSCOW, 26 Mei- Rusia dikhuatiri sudah mengorak langkah menggunakan senjata nuklear dalam perang di Ukraine apabila menghantar senjata nuklear taktikal ke Belarus semalam.

Perkembangan sedemikian disifatkan pemimpin Rusia satu kemajuan bagi penempatan pertama senjata nuklear Kremlin di luar Rusia sejak kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991.

Tindakan itu dikecam Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), namun Washington memaklumkan pihaknya tidak berhasrat mengubah pandangannya mengenai senjata nuklear strategik atau melihatnya sebagai tanda Rusia sedang bersiap untuk menggunakan senjata nuklear.

Presiden Rusia, Vladimir Putin, berkata berkata AS dan sekutunya sedang mendalangi perang proksi yang semakin meluas terhadap Rusia selepas pemimpin Kremlin itu menghantar tentera ke Ukraine 15 bulan lalu.

Rancangan untuk penempatan nuklear itu diumumkan Putin dalam satu temu bual yang disiarkan di televisyen negara itu pada 25 Mac lalu.

Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu, berkata pada dasarnya Barat secara kolektif melancarkan perang yang tidak diisytiharkan terhadap Rusia.

"Barat melakukan segala yang boleh 'untuk memanjangkan dan meningkatkan konflik bersenjata di Ukraine'," katanya pada pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Belarus di Minsk, menurut Kementerian Pertahanan Rusia.

Sementara itu, Presiden Belarus, Alexander Lukashenko, berkata senjata nuklear taktikal sudah pun digerakkan berdasarkan perintah ditandatangani oleh Putin, walaupun tiada pengesahan daripada Kremlin sendiri.

"Pergerakan senjata nuklear sudah bermula," katanya kepada pemberita di Moscow, ketika beliau menghadiri perbincangan dengan pemimpin negara bekas Soviet yang lain.

Ditanya sama ada senjata itu sudah berada di Belarus, beliau merkata: "Mungkin, saya akan memeriksanya apabila kembali ke Belarus".


(Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu, bersalam dengan Menteri Pertahanan Belarus,
Victor Khrenin ketika pertemuan di Minsk, Belarus/ REUTERS)

Dalam pada itu, Shoigu menjelaskan, dokumen yang ditandatanganinya di Minsk membabitkan proses untuk menyimpan senjata nuklear taktikal di Belarus.

Putin berulang kali memberi amaran Rusia, yang mempunyai lebih banyak senjata nuklear berbanding negara lain, akan menggunakan apa saja jalan untuk mempertahankan negaranya jika menghadapi ancaman.

Beliau turut menjadikan perang Ukraine sebagai pertempuran untuk kelangsungan hidup Rusia menentang Barat yang agresif.

AS dan sekutunya mengatakan mereka mahu Ukraine mengalahkan tentera Rusia di medan perang, tetapi pada masa sama, menafikan mereka mahu memusnahkan Rusia selain menolak kaitan perang Ukraine dalam apa-apa cara sekali pun dengan perluasan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pasca-Soviet.

Untuk rekod, Belarus mempunyai sempadan dengan tiga negara anggota NATO, iaitu Poland, Lithuania dan Latvia dengan Rusia akan kekal mengawal senjata nuklear itu.

Rusia mempunyai keunggulan yang besar berbanding AS dan pakatan tentera NATO dalam hal senjata nuklear taktikal, dengan AS percaya Rusia mempunyai kira-kira 2,000 kepala peledak taktikal yang mempunyai fungsi sedemikian.

AS pula mempunyai sekitar 200 senjata nuklear taktikal, separuh daripadanya berada di pangkalan di Eropah.

Shoigu berkata, peluru berpandu Iskander-M, yang boleh membawa kepala peledak konvensional atau nuklear, sudah diserahkan kepada angkatan bersenjata Belarus dan beberapa pesawat Su-25 ditukar untuk kemungkinan penggunaan senjata nuklear.

"Selain itu, askar Belarus sudah menerima latihan yang diperlukan," katanya seperti dipetik kementeriannya. - REUTERS

Media Baharu