fb fb fb fb fb

AS beri amaran kepada pihak bertelagah di Sudan, henti cabuli gencatan senjata

(Foto fail AFP)

WASHINGTON, 26 Mei- Amerika Syarikat pada Khamis, memberi amaran kepada pihak bertelagah di Sudan selepas berlaku pencabulan gencatan senjata.

Jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller berkata pasukan pemantau yang ditubuhkan selepas rundingan di Jeddah telah mengesan penggunaan artileri, dron dan pesawat tentera serta pertempuran antara kedua-dua pihak di Khartoum dan Darfur.

"Kami terus melihat pelanggaran gencatan senjata," kata Miller kepada pemberita.

Pihaknya juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan menerusi kuasa sekatan jika perkara itu terus berlaku.

"Kami mengekalkan kuasa sekatan dan jika sesuai kami tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasa itu," katanya, mengulangi amaran awal daripada Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.

Sejak 15 April, ibu negara Sudan dan bahagian lain di negara itu dicengkam peperangan bandar yang kejam antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) selepas pertikaian mengenai penyepaduan mereka sebagai sebahagian daripada peralihan kepada pemerintahan awam.

Amerika Syarikat telah mengancam sekatan terhadap kedua-dua pihak tetapi buat masa ini mengutamakan dialog dengan harapan untuk mencapai penyelesaian.-AFP

(Matthew Miller/Foto fail AFP)

Media Baharu