(Foto Fail Pengarah Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Pusat untuk China,
Yang Jiechi dan Penasihat Keselamatan Negara (AS) Jake Sullivan/AFP)
WASHINGTON, 14 Mac- Rusia didakwa telah meminta China, bantuan ekonomi dan ketenteraan untuk operasi tentera di Ukraine, lapor media Amerika Syarikat semalam, beberapa jam selepas White House memberi amaran, Beijing akan berdepan tindakan susulan jika membantu Moscow daripada sekatan antarabangsa.
Pegawai Amerika Syarikat (AS) memberitahu media bahawa Rusia telah meminta peralatan ketenteraan dan sokongan berkaitan daripada sekutu utamanya itu.
Moscow juga meminta Beijing untuk bantuan ekonomi bagi menghadapi sekatan antarabangsa yang dikenakan kebanyakan negara Barat, lapor New York Times tanpa menyebut nama pegawai yang memaklumkan perkara itu.
Malah pegawai tersebut enggan memperjelaskan permintaan sebenar Rusia atau reaksi susulan China terhadap permintaan itu.
Jurucakap Keduataan China di Washington berkata "saya tidak pernah mendengarnya" apabila ditanya mengenai permintaan tersebut.
(Wakil Tetap China Zhang Jun, Duta Besar Vasily Nebenzia dan Wakil Tetap Persekutuan Rusia,
bercakap sebelum memulakan mesyuarat bagi membincangkan krisis kemanusiaan di Ukraine di ibu pejabat PBB pada 07 Mac 2022/AFP)
Laporan itu dikeluarkan beberapa jam selepas White House mengumumkan delegasi peringkat tinggi AS akan mengadakan pertemuan dengan pegawai tinggi China di Rom hari ini.
Penasihat Keselamatan Negara (AS), Jake Sullivan dan Ketua Diplomat Parti Komunis China, Yang Jiechi, “akan mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan persaingan antara kedua-dua negara (AS-China) serta membincangkan kesan perang Rusia-Ukraine terhadap keselamatan serantau dan global,” menurut Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Emily Horne dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Setakat ini, Beijing kekal dengan pendirian tidak mengecam secara langsung operasi tentera Rusia di Ukraine dan berulang kali menyalahkan NATO mengenai "perluasan wilayah ke bahagian timur" sehingga memburukkan situasi semasa di Ukraine. -AFP