fb fb fb fb fb

Rusia lancar serangan baharu, Ukraine perkukuh pertahanan udara

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy/Foto REUTERS

KYIV, 13 Julai - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy melaporkan Rusia melancarkan serangan lagi pada malam Sabtu selepas melancarkan 339 dron Shahed, pada Jumaat lepas.

Ia merupakan yang terbaru dalam siri serangan udara besar-besaran oleh Rusia dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Manakala, serangan pada Jumaat Rusia menyasarkan bandar-bandar di barat.

Tambah Zelenskiy, Rusia telah melancarkan 597 dron dan 26 peluru berpandu yang mengakibatkan dua orang terkorban, 20 cedera serta kerosakan infrastruktur awam dari timur laut hingga ke barat Ukraine.

Dalam serangan tersebut, pertahanan udara Ukraine berjaya menembak jatuh 25 peluru berpandu dan 319 dron serta menghalang 258 dron yang lain melalui peperangan elektronik.

"Ukraine akan terus mencari sokongan dan semakin hampir kepada perjanjian pelbagai lapisan mengenai sistem Patriot baharu dan peluru berpandu untuknya. Kami sedang melabur dalam pengeluaran sendiri, khususnya dron, termasuk dron pemintas.

"Kami akan meneruskan operasi dron secara aktif di wilayah Rusia sebagai tindak balas terhadap serangan mereka. Seperti biasa, kami akan bertindak secara tidak simetri dan berkesan." katanya. -REUTERS

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN