fb fb fb fb fb

10 terbunuh ketika menunggu bantuan kemanusian

Penduduk Gaza menunggu bantuan makanan/Foto AFP

GAZA, 13 Julai - Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dalam serangan tentera Israel pada Jumaat, termasuk 10 penduduk yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan.

Pegawai Pertahanan Awam Gaza, Mohammed al-Mughayyir memaklumkan 10 mangsa tersebut telah ditembak oleh tentera Israel ketika berada di kawasan Al-Shakoush, di barat laut Rafah, iaitu sebuah kawasan yang sering dilaporkan menjadi lokasi tembakan ke atas orang awam yang sedang menunggu bantuan.

Kejadian itu berlaku ketika Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan bahawa hampir 800 orang terbunuh sejak akhir Mei lalu ketika cuba mendapatkan makanan di Gaza, selepas Israel mula melonggarkan sekatan selama lebih dua bulan terhadap penghantaran bantuan ke wilayah berkenaan.

Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Ravina Shamdasani berkata, sebahagian besar kematian dilaporkan berhampiran fasiliti yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), yang disokong Amerika Syarikat dan Israel.

“Sebanyak 798 kematian, termasuk 615 kematian berlaku di sekitar lokasi bantuan GHF,” katanya merujuk kepada tempoh operasi yayasan tersebut bermula sejak akhir Mei sehingga 7 Julai. -AFP

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI