ANKARA, 12 Julai - Kerjasama Tehran dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) tidak akan dihentikan tetapi akan diteruskan dengan pendekatan baharu bagi memastikan keselamatan kemudahan nuklearnya.
Perkara itu dinyatakan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi pada Sabtu, dalam satu pertemuan dengan duta dan ketua misi asing yang berpangkalan di Tehran.
“Hakikat yang sistem pengawalan senjata boleh dilanggar dengan begitu mudah merupakan satu kerosakan, sebelum menjadi satu kerugian, bukan sahaja kepada Iran, tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa dan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Beliau turut mengulangi komitmen Iran terhadap Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).
Jelasnya program nuklear negara itu sentiasa bersifat aman dan akan kekal begitu, malah Tehran akan terus menjadi ahli kepada NPT.
“Menurut undang-undang parlimen, kerjasama kami diuruskan melalui Majlis Keselamatan Tertinggi Negara dan permintaan kerjasama daripada IAEA akan dinilai mengikut kes oleh majlis ini, yang akan membuat keputusan,” kata Araghchi.
Konflik selama 12 hari antara Israel dan Iran meletus pada 13 Jun selepas Tel Aviv melancarkan serangan udara ke atas tapak ketenteraan, nuklear dan awam Iran.
Menurut Kementerian Kesihatan Iran, sekurang-kurangnya 606 orang terkorban dan 5,332 lagi cedera.
Konflik itu berakhir bawah satu gencatan senjata tajaan Amerika Syarikat yang berkuat kuasa pada 24 Jun. -REUTERS