fb fb fb fb fb

Rusia gagalkan serangan dron Ukraine

Foto Reuters

MOSCOW, 1 September - Rusia mengumumkan pada Ahad bahawa mereka telah berjaya menggagalkan satu serangan dron besar-besaran oleh Ukraine, dengan 158 dron berjaya ditembak jatuh di 15 wilayah, termasuk dua di ibu kota, Moscow.

Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, kebanyakan dron yang ditembak adalah di wilayah Kursk, Bryansk, Voronezh, dan Belgorod yang bersempadan dengan Ukraine.

Gabenor Bryansk, Aleksandr Bogomaz, mengesahkan bahawa kawasan tersebut telah menghadapi percubaan serangan UAV besar-besaran.

Kejadian ini berlaku beberapa hari selepas Rusia melancarkan serangan terhadap infrastruktur tenaga Ukraine dengan lebih 200 dron dan peluru berpandu diaman ia merupakan salah satu serangan terbesar sejak konflik bermula.

Selain itu, serangan ini juga hampir sebulan selepas Ukraine melancarkan serangan di wilayah Kursk Rusia.

Seorang pegawai tempatan di wilayah Moscow memaklumkan bahawa tiga dron telah cuba menyerang stesen janakuasa arang batu Kashira.

Walau bagaimanapun, tiada kerosakan atau mangsa terlibat dilaporkan dan bekalan elektrik masih disalurkan kepada pelanggan tanpa gangguan.

Agensi berita Rusia turut melaporkan kebakaran di loji penapisan minyak di Kapotnya, Moscow, namun Datuk Bandar, Sergei Sobyanin menegaskan bahawa tiada kerosakan besar atau kemalangan jiwa berlaku.

Di wilayah Belgorod, Gabenor Vyacheslav Gladkov memaklumkan bahawa tiga bangunan kediaman mengalami kerosakan, manakala sebuah bangunan utiliti di kawasan kediaman persendirian musnah sepenuhnya.

Rabu lalu, dron Ukraine juga menyerang dua depoh bahan api, menyebabkan kebakaran di wilayah Rostov dan Kirov di Rusia.

Konflik yang sedang berlangsung ini telah menyaksikan kedua-dua pihak menyasarkan infrastruktur tenaga sebagai sebahagian daripada strategi ketenteraan mereka sejak Rusia memulakan kempen di Ukraine pada Februari 2022.

Trainee