HEBRON, 1 September- Tiga pegawai polis Israel mati ditembak hari ini di Hebron, Tebing Barat selatan yang diduduki, menurut laporan tempatan.
Menurut sumber keselamatan dipetik oleh akhbar Israel, Haaretz, "beberapa penembak melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta di Laluan 35."
Ia menambah bahawa pasukan Israel sedang memburu suspek, namun tiada butiran lanjut diberikan.
Kejadian itu dilapor berlaku susulan serbuan tentera Israel ke Hebron yang menyaksikan penutupan Masjid Ibrahimi, larangan terhadap jemaah untuk masuk, serta penggeledahan dan serbuan ke rumah-rumah.
Insiden terbabit mengikuti insiden lain semalam, yang mana tiga pegawai Israel termasuk seorang komander briged cedera dalam letupan bom kereta di persimpangan Gush Etzion di Tebing Barat selatan.
Letupan itu berlaku serentak dengan serangan ke atas penempatan haram Karmei Tzur yang berdekatan.
Ia berlaku ketika tentera Israel meneruskan operasi ketenteraan di Tebing Barat utara yang disifatkan terbesar sejak tahun 2002.
Operasi bermula pada Rabu itu telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 26 rakyat Palestin terbunuh.
Ketegangan kekal tinggi di seluruh Tebing Barat yang diduduki berikutan serangan Israel ke Jalur Gaza yang meragut hampir 40,700 nyawa Palestin kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sejak 7 Oktober tahun lalu.
Sumber Palestin melaporkan bahawa dalam tempoh sama, sekurang-kurangnya 674 rakyat Palestin telah terbunuh, hampir 5,400 cedera, dan lebih 10,300 ditahan di Tebing Barat.
Ketegangan berkenaan mengikuti keputusan penting oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 Julai lalu yang mengisytiharkan pendudukan Israel di wilayah Palestin selama beberapa dekad adalah tidak sah dan menyeru pengosongan semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. -Reuters