fb fb fb fb fb

Rusia gagalkan cubaan bunuh terhadap pegawai dan blogger properang

Foto REUTERS

MOSCOW, 29 Disember- Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) pada Sabtu mendakwa telah menggagalkan rancangan Ukraine untuk membunuh seorang pegawai kanan tentera Rusia dan seorang blogger properang menggunakan bom tersembunyi dalam pembesar suara mudah alih.

FSB, yang merupakan pengganti utama kepada KGB era Soviet, berkata seorang rakyat Rusia telah berhubung dengan pegawai risikan tentera Ukraine (GUR) melalui aplikasi pesanan Telegram.

Mengikut arahan pegawai Ukraine itu, individu Rusia tersebut mengambil bom yang disembunyikan di Moscow.

Bom seberat 1.5 kilogram TNT yang dipenuhi bebola logam itu disembunyikan dalam pembesar suara mudah alih, menurut FSB.

FSB tidak mendedahkan identiti pegawai dan blogger yang menjadi sasaran serangan tersebut.

Sementara itu, pihak risikan Ukraine (GUR) masih belum memberikan sebarang komen mengenai dakwaan itu.

Ukraine sebelum ini menegaskan bahawa peperangan Rusia ke atas negara itu merupakan ancaman kepada kedaulatannya dan menganggap pembunuhan sasaran sebagai tindakan yang sah untuk melemahkan moral dan menghukum mereka yang didakwa melakukan jenayah perang.

Namun, Rusia menuduh tindakan itu sebagai serangan pengganas yang menyalahi undang-undang dan menyalahkan Ukraine atas pembunuhan orang awam seperti Darya Dugina, anak kepada ideolog nasionalis Rusia, pada 2022.

Pada 17 Disember, agensi risikan Ukraine (SBU) membunuh Leftenan Jeneral Kirillov, ketua Pasukan Perlindungan Nuklear, Biologi dan Kimia Rusia, di Moscow dengan bom dipasang pada skuter elektrik di luar apartmennya. Kyiv menuduh beliau mempromosikan penggunaan senjata kimia terlarang, namun dakwaan itu dinafikan Moscow.

Jurucakap Trump, Keith Kellogg, mengkritik pembunuhan itu sebagai tindakan yang "terlalu melampau".

Susulan insiden itu, Rusia berikrar untuk membalas dendam terhadap kematian Kirillov.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD