TBILISI,29 Disember-Bekas pemain bola sepak Georgia, Mikheil Kavelashvili dilantik sebagai Presiden baharu negara berkenaan pada Ahad di tengah-tengah krisis politik yang semakin tegang dan bantahan besar-besaran pro-EU.
Pelantikan Kavelashvili, yang setia kepada parti pemerintah Georgian Dream, dijangka memburukkan lagi ketegangan setelah pilihan raya negara berkenaan diisytiharkan "tidak sah" oleh Presiden Salome Zurabishvili yang akan berundur.
Sejak pilihan raya parlimen pada Oktober lalu yang dipertikaikan dan keputusan kerajaan untuk menghentikan rundingan keahlian EU, ribuan rakyat telah mengadakan protes menuntut Georgia kekal di landasan pro-Eropah.
Zurabishvili, yang popular di kalangan penunjuk perasaan, menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan sehingga kerajaan mengumumkan pilihan raya parlimen baharu.
Beliau turut menyifatkan parlimen, kerajaan, dan presiden baharu sebagai "tidak sah" dan menyeru pilihan raya semula bagi menyelesaikan krisis politik ini.
Perdana Menteri Georgia, Irakli Kobakhidze telah mengancam bahawa Zurabishvili akan dikenakan hukuman penjara jika enggan mengosongkan Istana Presiden.
Beliau juga melabelkan penunjuk perasaan sebagai "kumpulan ganas" yang dikawal oleh "fasis liberal", sambil menolak tuntutan untuk mengadakan pilihan raya baharu.
Protes awal menyaksikan polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air, mengakibatkan lebih 400 penahanan.
Laporan mengenai kekerasan polis telah mencetuskan kecaman antarabangsa, termasuk sekatan visa dari Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah terhadap pegawai Georgian Dream.
Washington telah mengenakan sekatan ke atas Bidzina Ivanishvili, bekas Perdana Menteri dan pemimpin tidak rasmi Georgian Dream, yang dituduh menyokong agenda pro-Rusia dan menjejaskan masa depan demokrasi Georgia.
Langkah tersebut diambil selepas Brussels membekukan proses kemasukan Georgia ke EU, ekoran peralihan dasar Georgian Dream dari pro-Barat kepada pendekatan ultra-konservatif pro-Rusia.-AFP.