MOSCOW, 23 Julai – Rusia mengumumkan bahawa pasukannya telah menguasai sebuah lagi penempatan di wilayah Donetsk, manakala Ukraine pula melaporkan sebanyak 176 pertempuran berlaku dalam tempoh 24 jam lalu.
Kementerian Pertahanan Rusia menerusi taklimat baharu memaklumkan bahawa pasukan tenteranya telah mengambil alih sebuah kawasan kediaman di Donetsk serta memusnahkan 10 stesen peperangan elektronik dan 13 depot peluru Ukraine.
Kementerian itu turut melaporkan penggunaan pelbagai senjata termasuk peluru berpandu hipersonik Kinzhal bagi menyerang beberapa fasiliti ketenteraan dan perindustrian Ukraine.
Sementara itu, dalam kemas kini medan perang, Ketua Turus Angkatan Tentera Ukraine menyatakan bahawa pasukan negara itu menyasarkan kawasan penempatan anggota, senjata, peralatan ketenteraan dan unit artileri peluru berpandu milik Rusia, selain terus bertempur di kawasan utara Slobozhansky dan arah Kursk.
Kedua-dua pihak turut melaporkan kejayaan menembak jatuh sejumlah besar dron milik negara masing-masing sepanjang tempoh tersebut.
Rusia mendakwa telah memusnahkan dua peluru berpandu jarak jauh Neptune dan 259 dron bersayap tetap milik Ukraine. Ukraine pula mendakwa berjaya menembak jatuh 256 dron taktikal Rusia dan 18 peluru berpandu.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa media Rusia melaporkan bahawa rundingan pusingan ketiga antara Rusia dan Ukraine dijadualkan berlangsung pada Khamis ini di Istanbul, Turkiye, dengan kedua-dua delegasi dijangka tiba di bandar itu pada Rabu.
Delegasi Ukraine akan diketuai Setiausaha Majlis Keselamatan dan Pertahanan Negara, Rustem Umerov.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dalam ucapan video pada malam Isnin turut memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan perbincangan bersama Umerov mengenai rundingan tersebut. Umerov kemudiannya mengesahkan bahawa pertemuan dengan pihak Rusia dijadualkan berlangsung pada Rabu di Turkiye.- REUTERS