fb fb fb fb fb

Penyokong pro-Palestin desak henti krisis kemanusiaan di Gaza

Penyokong pro-Palestin lakukan protes di New York, gesa penghentian segera terhadap kekejaman di Gaza/ REUTERS

NEW YORK, 23 Julai – Penyokong pro-Palestin berhimpun di Union Square, di sini untuk membantah krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza serta menggesa penghentian segera terhadap kekejaman yang sengaja diwujudkan.

Dengan laungan slogan 'hentikan kebuluran di Gaza sekarang!', para penunjuk perasaan memegang sepanduk dengan mengecam tindakan kerajaan Israel menyekat bantuan kemanusiaan serta mengkritik sokongan Amerika Syarikat terhadap serangan tentera Israel di wilayah berkenaan.

"Manusia sedang dibiarkan kebuluran secara sengaja di Gaza, dan kerajaan kita bersubahat dalam perkara ini.

"Kita sebenarnya boleh hentikannya serta-merta, tetapi tiada siapa yang melakukannya," kata seorang penunjuk perasaan, John King.

Seorang wakil dari Pergerakan Belia Palestin pula menegaskan bahawa mobilisasi akan diteruskan.

"Kami akan teruskan desakan sehingga genosid ini benar-benar berakhir," katanya.

Pada Isnin lalu, Britain bersama lebih 20 negara lain turut menggesa agar perang di Gaza dihentikan segera, selain mengkritik sistem penghantaran bantuan makanan selepas ratusan rakyat Palestin terbunuh berhampiran kawasan agihan.

Konflik yang tercetus telah meragut lebih 59,000 nyawa rakyat Palestin selain mengakibatkan seluruh penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggambarkan sektor kesihatan di Gaza sebagai daif dan serba kekurangan dari segi bekalan bahan api dan perubatan.

Kebanyakan hospital di Gaza tidak henti-henti menerima individu cedera akibat serangan berterusan rejim Zionis.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI