NEW YORK, 23 Julai – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyeru semua negara anggota untuk memperbaharui komitmen terhadap multilateralisme dan penyelesaian pertikaian secara aman melalui saluran diplomasi, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB, demi mempromosikan keamanan serta keselamatan global.
Seruan itu disampaikan dalam satu sesi debat terbuka Majlis Keselamatan PBB yang turut meluluskan Resolusi 2788 secara sebulat suara oleh 15 negara anggota. Resolusi tersebut menekankan keperluan memperkukuh mekanisme penyelesaian damai terhadap pertikaian antarabangsa.
Resolusi itu menggesa semua negara anggota PBB agar menggunakan secara berkesan mekanisme seperti yang diperuntukkan bawah Perkara 33 Piagam PBB, termasuk rundingan, siasatan, pengantaraan, pendamaian, timbang tara, penyelesaian kehakiman, atau melalui agensi dan pengaturan serantau, mahupun kaedah damai lain mengikut pilihan mereka sendiri.
"Kita menyaksikan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa di seluruh dunia, termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang pelarian antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dan juga Piagam PBB itu sendiri, tanpa sebarang bentuk pertanggungjawaban," kata Guterres.
Kegagalan mematuhi kewajipan antarabangsa itu berlaku dalam keadaan jurang geopolitik dan konflik yang semakin melebar, dengan kos yang sangat tinggi—diukur menerusi kehilangan nyawa, komuniti yang musnah, dan masa depan yang terhapus.
"Kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat bencana ini, cukup dengan melihat apa yang berlaku di Gaza, dengan tahap kemusnahan dan kematian yang tiada bandingannya dalam sejarah terkini," tambah beliau.
Guterres turut menekankan bahawa keamanan memerlukan usaha bersama dan Majlis Keselamatan PBB memainkan peranan penting sebagai teras dalam struktur global untuk keamanan dan keselamatan.
Selama lebih lapan dekad sejak penubuhan PBB, Piagam PBB sentiasa menegaskan penyelesaian pertikaian secara aman, dan multilateralisme kekal sebagai asas utama dalam mencapai keamanan yang berkekalan.- REUTERS