WASHINGTON, 23 Julai – Presiden Donald Trump memutuskan untuk menarik semula Amerika Syarikat daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), dengan menyifatkan agensi itu sebagai "woke" dan "memecahbelahkan".
White House dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu mengulangi keputusan yang pernah dibuat semasa penggal pertama kepimpinannya, sebelum ia dibatalkan Presiden Joe Biden pada 2023. Pengunduran dari agensi berpangkalan di Paris itu dijangka berkuat kuasa pada penghujung tahun hadapan.
UNESCO ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua dengan matlamat memupuk keamanan melalui kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan.
Agensi itu dikenali menerusi penyenaraian Tapak Warisan Dunia, termasuk Grand Canyon di Amerika Syarikat dan Piramid di Mesir.
UNESCO telah menyenaraikan sebanyak 26 tapak di Amerika Syarikat sebagai Tapak Warisan Dunia, antaranya termasuk Patung Liberty. Senarai itu merangkumi 1,248 lokasi di seluruh dunia yang diiktiraf sebagai mempunyai 'nilai sejagat luar biasa.'
Langkah pengunduran terbaharu ini selari dengan dasar luar 'America First' pentadbiran Trump, yang sering menunjukkan keraguan terhadap badan-badan pelbagai hala termasuk Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan juga pakatan NATO.
Washington merupakan ahli pengasas agensi itu pada tahun 1945, namun menarik diri buat kali pertama pada tahun 1984 atas dakwaan salah urus kewangan dan sikap berat sebelah terhadap AS semasa era Perang Dingin.
Amerika Syarikat kembali menyertai UNESCO pada 2003 semasa pentadbiran Presiden George W. Bush selepas agensi itu melaksanakan beberapa pembaharuan.
Namun, pada 2011, pentadbiran Presiden Barack Obama menghentikan pembiayaan kepada UNESCO susulan keputusan agensi itu memberikan keanggotaan penuh kepada Palestin.
Pada 2017, pentadbiran Trump ketika itu mengumumkan pengunduran penuh daripada UNESCO dengan menuduh agensi berkenaan bersikap anti-Israel. Ketika itu, Washington mempunyai tunggakan yuran sebanyak AS$542 juta. Keputusan itu kemudian dibatalkan oleh Presiden Biden pada 2023.- REUTERS