WASHINGTON, 23 Julai – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan bahawa Washington telah mencapai perjanjian perdagangan baharu dengan Jepun yang menyaksikan pengenaan tarif sebanyak 15 peratus ke atas barangan Jepun.
Trump sebelum ini mengumumkan untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peratus bermula 1 Ogos sekiranya perjanjian tidak dimuktamadkan.
"Kami baru sahaja melengkapkan Perjanjian besar dengan Jepun, mungkin yang terbesar pernah dibuat," kata Trump menerusi platform Truth Social miliknya.
Menurut beliau, menerusi perjanjian tersebut, "Jepun akan melabur, atas arahan saya, sebanyak AS$550 bilion di Amerika Syarikat dan AS akan menerima 90 peratus daripada keuntungannya."
Namun, beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai struktur pelaburan luar biasa itu, sebaliknya mendakwa perjanjian tersebut "akan mewujudkan ratusan ribu peluang pekerjaan."
"Paling penting, Jepun akan membuka peluang kepada perdagangan termasuk bagi kereta dan trak, beras dan beberapa produk pertanian tertentu serta barangan lain. Jepun akan membayar tarif timbal balik kepada Amerika Syarikat sebanyak 15 peratus," tambah beliau.
Trump kini berada bawah tekanan untuk memuktamadkan beberapa perjanjian perdagangan selepas berikrar untuk menyelesaikan pelbagai rundingan menjelang tarikh akhir tarif 1 Ogos.
Perjanjian dengan Jepun ini menyusuli beberapa perjanjian lain yang telah dimeterai dengan Filipina, Indonesia, Britain dan Vietnam dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Ia juga berlaku selepas Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba menghadapi keputusan pilihan raya sukar hujung minggu lalu, susulan gabungan pemerintahnya kehilangan majoriti dalam Dewan Kaunselor. - AFP