GAZA, 23 Julai – Gaza terus dihujani serangan pada awal pagi Rabu, disusuli dengan dentuman kuat letupan yang menggegarkan kawasan sekitar.
Letupan tersebut berlaku pada pukul 4.12 pagi waktu tempatan, sebelum asap hitam tebal kelihatan memenuhi ruang udara bermula sekitar 5.40 pagi dan berterusan selama sekurang-kurangnya sejam.
Dalam perkembangan berkaitan, pada hari sama lebih 100 organisasi bantuan dan hak asasi manusia menyeru tindakan segera kerajaan-kerajaan dunia ketika kebuluran dilaporkan semakin meruncing di Gaza.
Menerusi kenyataan bersama yang ditandatangani 111 organisasi termasuk Mercy Corps, Majlis Pelarian Norway (Norwegian Refugee Council) dan Refugees International; mereka menuntut agar gencatan senjata kekal dikuatkuasakan serta semua sekatan ke atas kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza segera ditamatkan.
Kumpulan tersebut turut memberi amaran bahawa kebuluran besar-besaran sedang melanda wilayah berkenaan, sedangkan beribu-ribu tan makanan, air bersih, bekalan perubatan dan barangan asas lain masih terdapat di luar Gaza.
Ia tidak dapat dihantar ke kawasan itu kerana halangan untuk akses dan penghantaran organisasi kemanusiaan.
Rejim Zionis Israel mengawal sepenuhnya kemasukan bekalan ke Gaza dan menafikan ia bertanggungjawab terhadap kekurangan makanan di wilayah terbabit.- REUTERS