fb fb fb fb fb

Rusia cuba hapuskan unit terakhir tentera Ukraine di Azovstal: Kiev

(Kemudahan yang rosak akibat bedilan di kilang keluli Azovstal, Mariupol/REUTERS)

KIEV, 5 Mei - Ukraine menuduh tentera Rusia cuba menghapuskan saki baki askarnya yang berkubu di kilang keluli Azovstal Mariupol, dengan Batalion Azov mendakwa tentera Moscow telah memecah masuk ke kilang gergasi itu.

"Penjajah Rusia memberi tumpuan untuk menyekat dan cuba memusnahkan unit Ukraine di kawasan Azovstal," kata tentera Kiev dalam satu kenyataan.

"Dengan sokongan pesawat, Rusia meneruskan serangan untuk mengawal loji itu."

Kenyataan itu dibuat ketika gencatan senjata yang diumumkan Rusia akan bermula di loji yang dikepung, lokasi beratus-ratus askar Ukraine dan beberapa orang awam telah terperangkap selama berminggu-minggu.

Seorang komander Batalion Azov, yang mengetuai pertahanan Mariupol berkata, askar Rusia telah memasuki loji itu dan terdapat pertempuran berdarah yang berterusan.

"Selama dua hari, musuh telah menceroboh masuk ke dalam kurungan keluli," kata komander Azov, Denys Prokopenko dalam video di Telegram.

"Keadaan ini amat sukar tetapi kami terus melaksanakan perintah untuk mempertahankan kubu."

Beliau berkata unit Ukraine masih bertahan walaupun berhadapan musuh yang lebih ramai.

(Kilang keluli Azovstal Mariupol)

Semalam, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky meminta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres membantu menyelamatkan unitnya di Azovstal, dan memindahkan semua yang cedera.

Pemimpin Ukraine itu berkata dalam ucapan video berasingan kemudiannya bahawa masih ada orang awam "wanita dan kanak-kanak" terperangkap di Azovstal dan Kiev sedang berunding untuk menyelamatkan mereka.

"Ia mengambil masa untuk mengangkat orang keluar dari tempat perlindungan bawah tanah itu," katanya.

"Dalam keadaan semasa, kami tidak boleh menggunakan peralatan khas untuk membersihkan serpihan. Semuanya dilakukan secara manual."

Datuk Bandar Mariupol Vadym Boichenko hari ini menggesa agar pemindahan yang diketuai PBB dan Palang Merah diteruskan dari bandar pelabuhan selatan itu.

"Kini kami berjuang untuk keselamatan setiap orang, setiap penduduk Mariupol," katanya di Telegram.

Seramai 344 warga Ukraine telah dipindahkan dari Mariupol dan sekitarnya lewat Rabu. -AFP

Media Baharu