fb fb fb fb fb

Rusia bersetuju kurangkan aktiviti ketenteraan di dua bandar utama Ukraine

KIEV, 30 MAC - Rusia bersetuju mengecilkan skala serangan tenteranya di Kiev dan sebuah lagi bandar utama di Ukraine.

Persetujuan itu dicapai dalam rundingan di Istanbul, Turki.

(Pasukan bomba berusaha memadam kebakaran di sebuah kemudahan menyimpan bahan api akibat terkena bedilan peluru berpandu Rusia di bandar Lviv, Ukraine/AFP)

Menurut pemimpin-pemimpin Ukraine, rundingan tersebut yang merupakan pusingan keenam antara kedua-dua pihak, memberi petunjuk positif.

Ketua perunding Ukraine, David Arakhamia yakin ada harapan untuk membawa presiden kedua-dua negara bersemuka di meja rundingan bagi menamatkan konflik terburuk di Eropah dalam tempoh beberapa dekad.

Ketua perunding Rusia, Vladimir Medinsky pula menyifatkan perbincangan di Istanbul sangat bererti.

Manakala Timbalan Menteri Pertahanan, Alexander Fomin memaklumkan, terdapat perkembangan positif berhubung tuntutan Rusia supaya Ukraine memberi jaminan untuk menjadi negara neutral dengan status bebas senjata nuklear.

"Kami telah memutuskan untuk mengurangkan secara radikal aktiviti ketenteraan di bandar Kiev dan Chernigiv," tambahnya.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dilaporkan menyambut baik perkembangan itu.

Beliau bagaimanapun masih mengambil sikap berwaspada.

"Isyarat positif yang diterima hasil rundingan di Istanbul tidak menenggelamkan bunyi letupan dan bedilan tentera Rusia. Kami akan terus memperkukuh operasi pertahanan," katanya menerusi video yang disiarkan secara dalam talian.

Dalam pada itu Amerika Syarikat meragui komitmen Rusia mengotakan janjinya.

Washington bersama-sama kuasa Barat yang lain berikrar akan terus meningkatkan tekanan terhadap Moscow. -AFP

 

Media Baharu