MOSCOW, 19 Februari- Penyiasat Rusia masih belum mengenal pasti punca kematian ketua pembangkang, Alexei Navalny.
Navalny yang juga seorang bekas peguam berusia 47 tahun jatuh pengsan sebelum meninggal dunia ketika berjalan-jalan di koloni penjara "Polar Wolf" di Kharp, iaitu tempat dia menjalani hukuman selama tiga dekad.
Ibu Navalny, Lyudmila, memaklumkan anaknya meninggal dunia akibat "sindrom kematian mengejut".
Jurucakap Navalny, Kira Yarmysh, berkata bahawa ibunya yang berusia 69 tahun dan peguam diberitahu bahawa pengesahan rasmi punca kematian dilanjutkan dan tidak jelas berapa lama masa yang diperlukan.
"Punca kematian 'tidak dapat ditentukan'," kata Yarmysh sambil menambah bahawa pihak berkuasa Rusia berbohong.
Ibu dan peguamnya tidak dibenarkan masuk ke bilik mayat pada hari ini di bandar Artik berhampiran koloni penjara.
"Ditanya sama ada mayat Navalny ada di sana, kakitangan tidak menjawab," kata Yarmysh.
Navalny adalah pemimpin pembangkang yang sering melontarkan kritikan terhadap amalan rasuah di bawah pentadbiran Putin.
Pendedahan yang dibuatnya mendapat jutaan tontonan di YouTube dan berjaya menarik puluhan ribu rakyat Rusia ke jalanan biarpun terpaksa berdepan undang-undang antiprotes yang tegas.
Navalny yang mempunyai ramai pengikut itu dipenjarakan pada awal 2021 selepas kembali ke Rusia dari Jerman. - REUTERS