fb fb fb fb fb

Rusia bantah latihan ketenteraan Jepun bersama negara NATO

Foto Hiasan: REUTERS

MOSCOW, 29 Jun- Rusia membantah rancangan Jepun untuk mengadakan latihan ketenteraan bersama negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Pulau Hokkaido dan mendakwa Perdana Menteri, Fumio Kishida meletakkan negaranya “di laluan ke arah peningkatan yang berbahaya”.

Kementerian Luar Rusia, dalam kenyataan di laman webnya, berkata bantahan telah dikeluarkan kepada kedutaan Jepun berhubung pengumuman bahawa latihan akan diadakan dengan Jerman dan Sepanyol akhir bulan ini.

Kenyataan itu berkata Tokyo diberitahu bahawa "secara mutlaknya tidak boleh diterima" untuk terlibat dalam aktiviti ketenteraan di luar pantai timur jauh Rusia, terutamanya dengan mengambil kira penyertaan anggota Nato yang terletak jauh dari rantau itu.

“Kami melihat aktiviti sedemikian sebagai potensi ancaman kepada keselamatan Persekutuan Rusia.

“Telah ditegaskan bahawa dasar pentadbiran Perdana Menteri Fumio Kishida yang tidak bertanggungjawab meletakkan Tokyo di laluan peningkatan berbahaya di Asia Timur Laut dan di seluruh rantau Asia-Pasifik," menurut kenyataan kementerian itu.

Kenyataan itu menyebut, Rusia telah memberi amaran tentang langkah balas yang perlu diambil untuk memastikan keupayaan pertahanan negara.

Jepun telah memberikan sokongannya di belakang Ukraine sejak Rusia menyerang negara jirannya lebih dua tahun lalu.

Tokyo dan Moscow telah gagal menyelesaikan pertikaian wilayah ke atas empat pulau di luar Hokkaido yang disifatkan oleh Jepun sebagai Wilayah Utara dan oleh Moscow, yang mengawalnya, sebagai pulau Kuril.

Pertikaian itu telah menghalang kedua-dua pihak memeterai perjanjian damai sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, apabila pulau-pulau itu dirampas oleh Kesatuan Soviet.

Jepun secara berkala menyuarakan rasa kurang senang mengenai Rusia memperkukuh infrastruktur ketenteraannya di pulau-pulau yang menjadi pertikaian itu.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI