fb fb fb fb fb

Rundingan tiga penjuru Rusia-Turki-Ukraine gagal capai kesepakatan

(Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu (tengah), Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov (kiri) dan Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba (kanan)
mengahadiri mesyuarat tiga penjuru Menteri Luar Russia-Turkey-Ukraine di Antalya pada 10 Mac 2022/AFP)

ANTALYA, 10 Mac- Rusia dan Ukraine gagal mencapai kesepakatan bagi pelaksanaan gencatan senjata dan isu kemanusiaan lain dalam rundingan pertama peringkat tertinggi antara ke dua-dua negara susulan pencerobohan Rusia di Ukraine kira-kira dua minggu lalu.

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dan rakan sejawatan, Dmytro Kuleba mengadakan pertemuan di luar Forum Diplomasi Antalya, di bandar peranginan Turki itu.

Rundingan tiga penjuru itu turut disertai Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu, selaku pengantara rundingan.

Menurut Kuleba “tiada kemajuan” dicapai walaupun gencatan senjata 24 jam, dan menyatakan “seolah-olah ada pembuat keputusan lain di Rusia mengenai isu yang dirundingkan.”

Kuleba turut mengulangi janjinya bahawa Ukraine tidak akan mengalah dan berkata “saya ulangi bahawa Ukraine tidak akan menyerah, tidak menyerah, dan tidak akan menyerah".

Dia menyifatkan rundingan itu sebagai “sukar”, menuduh rakan sejawatannya dari Rusia kerana membawa naratif tradisional tentang isu Ukraine ke meja rundingan.

Jelas Kuleba, pihaknya bersedia untuk bertemu dengan Lavrov semula dalam format rundingan sama jika terdapat prospek atau perbincangan lebih serius dalam mencari penyelesaian.

Delegasi Ukraine dan Rusia turut mengadakan pertemuaan di Belarus, namun pasukan yang dihantar Rusia untuk pertemuaan itu hanyalah wakil peringkat rendah tanpa melibatkan menteri.

- HOSPITAL DISERANG -

Pertemuan yang berlangsung hari ini diadakan tatkala kemarahan komuniti Barat selepas Rusia menyerang hospital kanak-kanak di Mariupol, kawasan yang dikepung tentera Rusia.

Kiev melaporkan selain bangunan musnah, serangan turut menyebabkan tiga orang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak perempuan.

Jelas Kuleba dia mahu perjanjian mengenai koridor kemanusiaan di bandar Mariupol dicapai pada pertemuan itu, namun Lavrov, bukan individu yang boleh membuat keputusan dalam hal tersebut.

“Lavrov akan berhubung dengan pihak yang ada kuasa mengenai hal yang dibincangkan,” kata Kuleba.

Tambahnya, Lavrov mendakwa hospital tersebut dijadikan sebagai “pangkalan tentera untuk nasionalis” dari Batalion Azov yang disifatkan radikal.

Dia juga mendakwa Kesatuan Eropah dan beberapa negara lain menyokong bekalan senjata ke Ukraine.

Apabila ditanya mengenai rancangan Rusia menyerang negara lain, Lavrov berkata “Rusia tidak ada rancangan untuk menyerang negara lain” dan mendakwa “kami tidak menyerang Ukraine.”

Dia sekali lagi menegaskan operasi tentera yang diumumkan Presiden Vladimir Putin pada 24 Februari lalu disebabkan situasi di Ukraine mewujudkan ancaman langsung kepada Persekutuan Rusia. -AFP


(Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu mengalu-alukan kehadiran Menteri Luar, Ukraine Dmytro Kuleba
sebelum pertemuan dengan Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov di Antalya, Turki/AFP)

 

Media Baharu