fb fb fb fb fb

71 orang kanak-kanak terbunuh selepas hampir dua minggu tentera Rusia di Ukraine

(Seorang ibu bersama anaknya melintas sempadan Ukraine ke Poland pada 8 Mac 2022/AFP)

KIEV, 10 Mac- Sekurang-kurangnya sudah 71 orang kanak-kanak terbunuh dan lebih 100 lagi cedera di Ukraine sejak Presiden Rusia mengumumkan perang terhadap Ukraine pada 24 Februari lalu.

Kenyataan itu diumumkan parlimen Ukraine tatkala serangan udara terbaru di hospital kanak-kanak di Mariupol membunuh tiga orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan.

“Dari permulaan pencerobohan Rusia sehingga pukul 11.00 pagi ini waktu tempatan 10 Mac, 71 orang kanak-kanak terbunuh dan lebih 100 lagi cedera,” tulis Lyudmyla Denisova, pegawai parlimen mengenai hak asasi manusia, menerusi mesej Telegram.

Serangan di hospital Mariupol yang terletak di pelabuhan tenggara Ukraine, iaitu kawasan yang dikepung tentera Rusia dan pemisah pro-Rusia dari wilayah Donbas di timur Ukraine.

Menurut sumber, 17 orang dewasa dilaporkan cedera dalam pengeboman itu.

Sementara itu di Malyn, barat wilayah Zhytomyr, tiga kanak-kanak dan dua individu lain terbunuh apabila tujuh buah rumah musnah dalam serangan udara, kata Denisova.

Pada Rabu malam pula, dua wanita dan dua kanak-kanak terbunuh apabila peluru mengenai rumah mereka di Slobozhanske, sebuah perkampungan di wilayah timur Izium, kata Denisova yang turut memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun terselamat.

Di Irpin, tidak jauh dari ibu negara Kiev, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun cedera parah dan sedang bertarung nyawa di hospital. -AFP


(Beberapa tembakan mengenai cermin sebuah kereta di Irpin, utara Kiev berlaku pada 10 Mac 2022/AFP)

Media Baharu