fb fb fb fb fb

Rundingan gencatan senjata Israel-Hamas di Qatar gagal

Jurucakap Briged Ezzedine al-Qassam, Abu Obaida/Foto AFP

GAZA CITY, 19 Julai - Hamas mendakwa Israel menghalang perjanjian dalam rundingan gencatan senjata sementara dan pembebasan tebusan di Gaza.

Perunding dari kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan secara berasingan di Qatar sejak 6 Julai lepas untuk cuba mencapai persetujuan gencatan senjata selama 60 hari yang akan menyaksikan 10 tawanan dibebaskan.

Bagaimanapun setelah hampir dua minggu, tiada sebarang kemajuan dan kedua-dua pihak telah menyalahkan satu sama lain kerana enggan berganjak dengan tuntutan utama mereka.

Bagi Hamas, tuntutan itu termasuk jaminan yang lebih kukuh mengenai keamanan yang berkekalan, pengunduran tentera Zionis dari Gaza dan aliran bantuan yang lebih bebas, manakala Israel mahu menghapuskan kumpulan pejuang Hamas di Gaza kononnya atas alasan keselamatan.

Menerusi rakaman video yang disiarkan pada Jumaat, jurucakap Briged Ezzedine al-Qassam, Abu Obaida berkata, Hamas sentiasa mencadangkan perjanjian komprehensif yang akan mengembalikan semua tebusan sekali gus.

Namun katanya, Israel menolak apa yang dicadangkan dan menggesanya untuk menimbang semula.

"Jika musuh tetap berdegil dalam pusingan rundingan ini, kami tidak dapat memberi jaminan kembali kepada cadangan perjanjian separa, termasuk tawaran pertukaran 10 tebusan," tambahnya. - AFP

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI