fb fb fb fb fb

Penduduk haram Yahudi bunuh dan curi ternakan petani Palestin di Tebing Barat

Petani Palestin merawat ternakan mereka di Jenin/Foto REUTERS

JENIN, 19 Julai - Penduduk haram Yahudi bertindak kejam membunuh 117 ekor biri-biri dan melarikan beratus-ratus yang lain dalam serangan semalaman dekat sini dan Lembah Jordan.

Serangan bertujuan mengusir petani Palestin (komuniti Arab al-Kaabaneh Badwi) dari tanah mereka di Tebing Barat yang diduduki.

Menteri Palestin, Moayad Shaaban, mengecam insiden itu dan menyifatkan ia sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk memindahkan penduduk Palestin dari wilayah tersebut.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan minggu ini bahawa pemindahan besar-besaran di Tebing Barat telah mencapai tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak Israel mula-mula menguasai wilayah itu hampir enam dekad lalu.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, juga memaklumkan terdapat 757 serangan penduduk haram Yahudi terhadap warga Palestin atau harta benda mereka sejak Januari lalu, peningkatan 13 peratus daripada tempoh yang sama tahun lalu.

"Sekurang-kurangnya 964 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera dan penduduk haram Israel di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, sejak permulaan perang di Gaza pada Oktober 2023," menurut PBB.

Sementara itu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tahun lalu menegaskan bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin, termasuk Tebing Barat, adalah tidak sah dan perlu ditamatkan segera. - REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI