fb fb fb fb fb

Masjid Ibrahimi di Hebron diambil alih oleh pendatang Yahudi

Masjid Ibrahimi turut dikenali sebagai Makam Nabi Ibrahim / Foto TRTGlobal

KANADA, 18 Julai - Tel Aviv telah menamatkan kuasa pentadbiran Majlis Perbandaran Hebron ke atas Masjid Ibrahimi dan menyerahkannya kepada majlis penempatan pendatang Yahudi, media Israel melaporkan pada Selasa.

Berikutan laporan penyerahan kawalan pentadbiran Masjid Ibrahimi kepada pendatang Israel itu, Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephanie Tremblay berkata PBB belum melihat laporan tersebut, namun menegaskan: “Kami sentiasa menyeru agar semua tapak keagamaan dilindungi.” lapor Anadolu Ajansi (AA).

Masjid Ibrahimi yang turut dikenali sebagai Makam Nabi Ibrahim, adalah tapak suci bagi umat Islam dan Yahudi. Kawalan ke atas masjid itu sering menjadi titik panas dalam konflik Israel-Palestin.

Langkah terbaru Israel ini merupakan perubahan besar pertama terhadap status masjid itu sejak cadangan Suruhanjaya Shamgar pada 1994, yang membahagikan akses dengan memperuntukkan 63 peratus kawasan kepada penganut Yahudi dan 37 peratus kepada umat Islam.

Pembahagian itu dibuat susulan insiden pembunuhan beramai-ramai pada 1994 oleh seorang pendatang Yahudi ekstremis, Baruch Goldstein, yang membunuh 29 jemaah Palestin ketika solat subuh.

Masjid itu terletak di Bandar Lama Hebron dalam kawasan yang berada di bawah kawalan penuh Israel, iaitu kira-kira 400 pendatang Yahudi tinggal dengan perlindungan 1,500 anggota tentera Israel. - BERNAMA

HASRON BIN HASSAN