KANADA, 18 Julai - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan bahawa lebih 737,000 orang telah dipindahkan di Semenanjung Gaza sejak serangan Israel pada Mac, sekali gus menunjukkan skala krisis kemanusiaan yang dihadapi penduduk di wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Bercakap pada sidang media, jurucakap PBB Stephanie Tremblay, yang memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata bahawa “antara 8 dan 15 Julai sahaja, lebih 11,500 orang telah dipindahkan.”
“Itu menjadikan jumlah keseluruhan penduduk yang dipindahkan sejak peningkatan terkini konflik pada 18 Mac kepada lebih 737,000 orang iaitu kira-kira 35 peratus daripada populasi Gaza.
“Dan sepanjang 21 bulan lalu, hampir semua orang telah dipindahkan, biasanya lebih daripada sekali,” katanya.
Tremblay berkata serangan Israel dalam tempoh 24 jam lalu mengenai beberapa lokasi yang menempatkan penduduk Palestin yang dipindahkan, dengan laporan menyebut terdapat kecederaan dan kematian.
Walaupun keperluan semakin meningkat, beliau berkata hanya sejumlah kecil bantuan kemanusiaan berjaya disalurkan ke Gaza.
Tremblay menyifatkan penghantaran bahan api benzena buat kali pertama dalam tempoh lebih 135 hari sebagai “langkah kecil tetapi penting ke hadapan,” memandangkan bahan itu amat diperlukan untuk menggerakkan ambulans dan perkhidmatan penting lain.
Mengulas serangan Israel ke atas sebuah gereja di Gaza, Tremblay berkata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres “mengutuk sekeras-kerasnya laporan mengenai serangan Israel ke atas Gereja Holy Family di Gaza, sebuah tempat ibadah dan perlindungan kepada orang awam.”
“Serangan ke atas rumah ibadat tidak boleh diterima. Mereka yang mencari perlindungan mesti dihormati dan dilindungi, bukannya menjadi sasaran serangan,” katanya sambil mengulangi gesaan agar gencatan senjata dilaksanakan segera. - BERNAMA