KAHERAH, 7 April- Rundingan untuk mendapatkan gencatan senjata di Gaza akan bersambung di Kaherah pada Ahad.
Hamas memaklumkan pihaknya menghantar delegasi ke Kaherah diketuai Timbalan Ketua kumpulan itu, Khalil al-Hayya bagi rundingan tersebut.
Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) Bill Burns, Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan seorang wakil dari Israel juga menyertai rundingan itu.
Hamas sekali lagi menegaskan pihaknya tidak akan menarik balik tuntutannya dalam rundingan tersebut antaranya menuntut gencatan senjata kekal, pengunduran tentera Israel, serta perjanjian tebusan yang serius.
Israel telah melancarkan serangan di Gaza sejak Oktober tahun lepas dengan lebih 33,000 rakyat Palestin maut manakala lebih 75,800 orang lagi mengalami kecederaan.
Serangan Israel turut menyebabkan kemusnahan kediaman dan infrastruktur pada skala besar serta kekurangan barangan keperluan.
Israel juga mengenakan sekatan di Gaza, sekali gus mengakibatkan penduduk Palestin mengalami kelaparan. - AFP