LONDON, 18 Julai – Sempena ulang tahun ke-75 komik ikonik Amerika Syarikat, Peanuts, Royal Mail memperkenalkan lapan reka bentuk setem baharu menampilkan watak-watak popular seperti Charlie Brown, Snoopy dan rakan-rakannya.
Setem edisi khas itu mengetengahkan ilustrasi Peanuts yang diubah suai dengan sentuhan British, antaranya Snoopy dan Woodstock lengkap berpakaian seperti pengawal diraja di luar Istana Buckingham serta aksi Snoopy berehat di atas peti surat merah klasik.
Reka bentuk lain termasuk Lucy dan Linus bermain di tepi istana pasir, serta Charlie Brown dan Snoopy menikmati teh dan kek – mencerminkan budaya Inggeris.
Komik asal Peanuts, hasil karya Charles M. Schulz, mula disiarkan pada 2 Oktober 1950 dan terus mencuit hati peminat di seluruh dunia sehingga Schulz meninggal dunia pada 2000.
Menurut Pengarah Hal Ehwal Luar dan Polisi Royal Mail, David Gold, koleksi itu merupakan penghormatan kepada legasi Schulz serta keistimewaan humor dan nilai kehidupan yang dibawa Peanuts selama beberapa dekad.
Setem edisi khas itu boleh dibeli mulai 24 Julai dan sudah mula dibuka untuk pra-tempahan.-REUTERS