MONROVIA, 18 Julai – Ratusan rakyat Liberia berarak secara aman di ibu negara Monrovia bagi mendesak kerajaan pimpinan Presiden Joseph Boakai bertindak lebih tegas terhadap isu ekonomi dan dakwaan salah laku dalam pentadbiran.
Protes anjuran kumpulan masyarakat sivil, Solidarity and Trust for A New Day (STAND) itu menyaksikan peserta berarak di sepanjang Tubman Boulevard sambil membawa sepanduk dan melaungkan slogan.
Mereka turut merancang untuk menyerahkan petisyen kepada Pejabat Eksekutif Presiden, namun kawasan tersebut diisytihar sebagai zon larangan oleh pihak polis, tindakan yang mengundang kritikan penganjur.
Boakai mula memegang jawatan sebagai Presiden pada Januari lalu selepas menewaskan penyandang, George Weah dalam pilihan raya pusingan kedua, November 2023. Sebagai sebahagian daripada usaha memerangi rasuah, pentadbiran beliau sebelum ini menggantung lebih 450 pegawai kerajaan yang gagal mengisytiharkan harta dalam tempoh ditetapkan.
Penunjuk perasaan turut melahirkan kebimbangan berhubung kos sara hidup yang semakin meningkat, dakwaan salah laku polis serta tekanan politik terhadap pihak pembangkang.
Ketua penganjur protes, Mulbah Morlu yang juga bekas Pengerusi Parti CDC berkata, rakyat hanya mahu menyuarakan hak secara aman, dan meminta Presiden Boakai sendiri tampil menerima petisyen sebagai bukti keprihatinan terhadap suara rakyat.-REUTERS