fb fb fb fb fb

Rompakan berlian di Muzium Louvre: Wanita 38 tahun didakwa

Sehingga kini barang kemas yang dicuri masih belum ditemui/Foto AFP

PARIS, 1 November – Seorang wanita berusia 38 tahun didakwa di mahkamah selepas ditahan bersama empat individu lain berhubung kes rompakan barang kemas bernilai tinggi di Muzium Louvre, pada 19 Oktober lalu.

Menurut laporan AFP, suspek yang berasal dari kawasan La Courneuve di utara Paris itu dituduh atas kesalahan bersubahat dalam rompakan terancang dan berkomplot bagi melakukan jenayah.

Wanita berkenaan dibawa menghadap majistret untuk menentukan sama ada dia akan ditahan reman atau dibebaskan sementara menunggu perbicaraan.

Rompakan yang disifatkan tidak pernah berlaku sebelum ini itu dilaporkan melibatkan barangan bernilai jutaan euro, sekali gus mencetuskan siasatan besar-besaran oleh pihak polis Perancis.

Polis masih menahan empat lagi suspek lain bagi membantu siasatan.

Sementara itu, salah seorang daripada lima suspek yang ditahan dilepaskan tanpa pertuduha.

Pada 19 Oktober lalu, sekumpulan pencuri bersenjatakan alat kuasa (power tools) melarikan barang kemas dianggarkan bernilai AS$102 juta (RM482 juta) dalam masa hanya tujuh minit di muzium paling terkenal dunia itu.

Menurut pihak pendakwa, dua suspek pertama sebelum ini telah didakwa atas kesalahan mencuri dan berkomplot melakukan jenayah selepas “sebahagiannya mengaku bersalah”.

Mereka dipercayai individu yang memecah masuk ke galeri, manakala dua lagi rakan menunggu di luar.

Sehingga kini barang kemas yang dicuri masih belum ditemui. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN