fb fb fb fb fb

Robot 'Iron Man' bantu individu kurang upaya lakukan aktiviti harian

Foto hiasan

DAEJEON, 23 Disember- Penyelidik Korea Selatan membangunkan robot yang boleh dipakai untuk digunakan pesakit lumpuh atau orang kurang upaya bagi membolehkan golongan itu melakukan aktiviti harian.

Pasukan Makmal Exoskeleton di Institut Sains dan Teknologi Termaju Korea (KAIST) berkata matlamat mereka adalah untuk mencipta robot yang mesra dengan kehidupan harian seperti  berjalan, menggerakkan anggota badan dan menaiki tangga.

Kim Seung-hwan, yang lumpuh juga merupakan sebahagian daripada pasukan KAIST, menunjukkan prototaip yang membantunya berjalan pada kelajuan 3.2 kph.

Struktur robot berkenaan turut membantunya untuk menaiki tangga dan melakukan kerja-kerja lain.

"Ia boleh mendekati saya walaupun ketika duduk di atas kerusi roda. Ia dipakai untuk membantu saya berdiri dan kepenggunaannya sangat ketara dalam membantu kehidupan harian," kata Kim.

Struktur robot exoskeleton itu dinamakan WalkON Suit F1 adalah gabungan komposisi aluminium dan titanium dengan berat 50 kilogram. Ia dikuasakan 12 motor elektronik yang menyerupai pergerakan sendi manusia semasa berjalan.

Seorang lagi ahli pasukan KAIST, Park Jeong-su berkata, ciptaan berkenaan dia mendapat inspirasi daripada filem "Iron Man".

"Selepas menonton Iron Man, saya fikir robot akan membantu individu dalam kehidupan sebenar."

Untuk memastikan keseimbangan pengguna semasa berjalan, robot itu dilengkapi dengan deria pada tapak kaki dan bahagian atas badan yang mampu memantau 1,000 isyarat sesaat dan menjangka pergerakan yang difikirkan oleh pengguna.

Kanta di hadapan robot berfungsi sebagai mata dan akan menganalisis persekitaran, mengenal pasti ketinggian tangga serta mengesan halangan untuk mengimbangi kekurangan keupayaan deria pengguna dengan paraplegia lengkap, kata Park.

Kim Seung-hwan turut memenangi pingat emas semasa memakai WalkON Suit F1 dalam lapan kategori exoskeleton di Cybathlon 2024.

Ia menampilkan keupayaan robot berkenaan dalam membantu individu yang mempunyai pelbagai kecacatan fizikal.

"Saya ingin memberitahu anak saya bahawa saya juga boleh berjalan. Saya ingin berkongsi pelbagai pengalaman dengannya," kata Kim.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI