MIAMI BEACH, 8 Disember -Pameran seni di Art Basel Miami Beach 2025 menjadi tumpuan luar biasa selepas menampilkan robot anjing yang mempunyai kepala tiga tokoh teknologi dunia, Elon Musk, Jeff Bezos dan Mark Zuckerberg.
Paparan seni bertajuk “Regular Animals” itu merupakan karya artis digital terkenal, Mike Winkelmann atau lebih dikenali sebagai Beeple.
Robot anjing tersebut menarik perhatian pengunjung apabila ia bergerak di ruang galeri sambil “merakam” apa sahaja yang dilihat, sebelum menghasilkan semula visual itu mengikut gaya dan karakter setiap tokoh.
Menurut Beeple, idea tersebut bertujuan mempersoalkan bagaimana personaliti dan pengaruh individu berkuasa boleh membentuk cara teknologi mentafsir dunia.
“Konsep asasnya ialah robot ini mengambil gambar semua yang mereka lihat dan kemudian mentafsirkannya mengikut gaya setiap watak,” katanya.
Pameran ini antara yang paling mendapat perhatian pada edisi tahun ini, selari dengan reputasi Beeple sebagai pelopor seni digital dan NFT. -AFP