fb fb fb fb fb

Risiko kebuluruan rakyat Somalia meningkat kepada 20 juta orang

(Kemarau terburuk yang melanda Afrika selama 40 tahun menyebabkan 20 juta orang ke arah kebuluran, menurut PBB/FOTO AFP)

GODE, 5 Mei - Kemarau teruk dari selatan Ethiopia hingga ke utara Kenya dan Somalia meningkatkan risiko kebuluran kepada kira-kira 20 juta penduduk.

Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) kawasan terlibat sedang berdepan kemarau terburuk dalam tempoh 40 tahun.

Kawasan terlibat hanya menerima taburan hujan sedikit selama empat musim hujan berturut-turut sejak akhir 2020.

Keadaan diburukkan lagi dengan serangan belalang yang memusnahkan tanaman antara 2019 hingga 2021.

Di kawasan terjejas, penduduk bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup, terutama dengan mengembala dan mengusahakan pertanian.

Situasi menyebabkan penduduk kelaparan akibat kemarau boleh melonjak daripada anggaran semasa 14 juta kepada 20 juta orang, tahun ini.

Minggu lalu, agensi tindak balas kemanusiaan P-B-B memaklumkan 40 peratus atau enam juta rakyat Somalia sedang menderitai krisis ketidakselamatan makanan pada tahap ekstrem.

6.5 juta penduduk di Ethiopia dan 3.5 juta lagi di Kenya pula sedang menghadapi kemelut ketidakselamatan makanan yang sangat buruk.

Kira-kira sejuta penduduk di seluruh rantau itu terpaksa meninggalkan kediaman akibat masalah kekurangan air dan padang ragut.

Sekurang-kurang tiga juta haiwan ternakan mati.

 (Bangkai lembu mati di atas tanah di kampung Hargududo, 80 kilometer dari bandar Gode, Ethiopia pada 7 April lalu selepas hampir tiada setitik air hujan dalam tempoh 18 bulan/FOTO AFP)

Media Baharu