(Rishi Sunak dan Liz Truss hadir dalam rancangan BBC di Victoria Hall, England
pada 25 Julai lalu/AFP)
LEEDS, 29 Julai - Calon bakal Perdana Menteri baharu Britain, Rishi Sunak dan Liz Truss daripada parti konservatif membuka gelanggang kempen dengan debat pertama mereka di Leeds semalam.
Sesi yang dihadiri ahli-ahli parti itu bertujuan bagi melobi serta meyakinkan peringkat akar umbi sebelum pemilihan bagi mengisi kekosongan kerusi Perdana Menteri Britain menggantikan Boris Johnson.
Liz Truss yang juga Setiausaha Luar Negara berikrar bagi membaiki taraf hidup rakyat Britain ketika dunia berhadapan inflasi yang kian meningkat.
"Kita perlu berani dan kita perlu lakuaknnya dengan cara yang berbeza. Apa yang akan saya lakukan sebagai Perdana Menteri adalah melancarkan pelan pertumbuhan ekonomi pertama melihat semula kenaikan Insurans Nasional yang kami janjikan seperti dalam manifesto kami.
"Saya akan memberi moratorium pada Green Levy untuk menjimatkan wang rakyat pada bil bahan api mereka," kata Liz Truss.
Sementara itu, bekas Menteri Kewangan, Rishi Sunak pula berpendapat inflasi harus diturunkan terlebih dahulu bagi membaiki taraf hidup rakyat.
"Saya tidak mengambil jalan mudah.. Terdapat banyak perkara yang boleh saya katakan untuk menjadikan hidup saya lebih mudah.
"Tetapi saya ingin berterus terang tentang cabaran yang dihadapi negara kita dan apa yang diperlukan untuk memperbaikinya. Ia adalah perkara yang jujur untuk dilakukan," menurut Rishi Sunak.
(Rishi Sunak dan Liz Truss hadir dalam rancangan BBC di Victoria Hall, England
pada 25 Julai lalu/AFP)
Pertemuan di utara England itu adalah debat pertama daripada 12 acara yang bakal diadakan di seluruh negara sebelum parti tersebut memilih Perdana Menteri baharu. -AFP