fb fb fb fb fb

Lima terbunuh serangan Rusia berhampiran hentian bas di selatan Ukraine

KIEV, 29 Julai- Serangan terbaharu Rusia di bandar Mykolaiv, Ukraine menyebabkan lima orang terbunuh dan tujuh orang cedera pada Jumaat.

“Hari ini, mereka menyerang kawasan lain berhampiran hentian pengangkutan awam,” kata gabenor wilayah Vitaliy Kim dalam satu kenyataan di media sosial.

Beliau pada awalnya mengumumkan empat kematian akibat serangan udara itu, namun kemudian memaklumkan lima orang terbunuh dan tujuh lagi cedera manakala pasukan penyelamat dilihat berada di lokasi kejadian.

Mykolaiv yang terletak berhampiran Laut Hitam, menyaksikan kira-kira separuh daripada keseluruhan anggaran penduduk sebelum perang iaitu hampir 500,000 orang telah meninggalkan bandar itu yang hampir setiap hari dibedil; selama berminggu-minggu.

Ia menjadi hab bandar terbesar dikawal Ukraine di kawasan hadapan wilayah Kherson, lokasi tentera Kiev melancarkan serangan balas untuk mendapatkan semula kawalan wilayah pantai yang penting dari segi ekonomi dan strategik.

Menurut Presiden Ukraine pada Jumaat serangan Rusia pada hari sebelumnya di Mykolaiv menyebabkan beberapa bangunan termasuk kediaman, rosak atau musnah.

“Satu pusat penghantaran bantuan kemanusiaan juga mengalami kerosakan. Tiga orang dilaporkan cedera,” katanya.

Sementara itu, di wilayah timur Donetsk, Gabenor Pavlo Kyrylenko berkata pada hari Jumaat bahawa tentera Moscow telah membunuh lapan orang dan mencederakan 19 lagi dalam serangan pada hari sebelumnya. -AFP


(Sebuah bangunan terbakar selepas serangan Rusia di wilayah Mykolaiv. Foto dikongsi
Perkhidmatan Kecemasan Ukraine pada 25 Julai 2022/AFP)

Media Baharu