fb fb fb fb fb

Ribut Tropika Melissa ancam Republik Dominican, penduduk dipindahkan

Foto AFP

SANTO DOMINGO, 23 Oktober – Republik Dominican berada dalam keadaan berjaga-jaga apabila Ribut Tropika Melissa dilaporkan menghampiri negara itu pada Rabu, menurut pihak berkuasa tempatan.

Ribut yang kini berada di barat daya negara itu, kira-kira 485 kilometer dari Haiti, bergerak perlahan dan dijangka membawa hujan lebat berterusan selama lima hari.

Susulan keadaan tersebut, Pusat Operasi Kecemasan (COE) meletakkan lapan wilayah serta Daerah Nasional di bawah amaran merah, berikutan risiko banjir dan tanah runtuh.

COE memberi perhatian khusus terhadap Empangan Sabaneta di San Juan de la Maguana yang kini berada pada kapasiti 101 peratus.

Air dilepaskan ke kawasan hilir bagi mengelakkan limpahan, namun tindakan itu meningkatkan risiko banjir di penempatan berhampiran.

Penduduk di kawasan berisiko tinggi telah diarahkan berpindah ke pusat perlindungan atau kawasan lebih selamat. Beberapa keluarga dilaporkan telah berpindah sebagai langkah berjaga-jaga.

Pengarah Bantuan Sosial dan Agihan Makanan Komuniti, Edgar Feliz, berkata bekalan makanan serta barangan keperluan asas telah diagihkan kepada kerajaan wilayah, dengan keutamaan diberikan kepada kawasan yang berada di bawah amaran merah. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN