fb fb fb fb fb

Ribut musim bunga landa New Zealand, amaran merah dikeluarkan

Foto AFP

WELLINGTON, 23 Oktober – Agensi cuaca New Zealand mengeluarkan amaran merah angin kencang yang jarang berlaku, manakala pihak berkuasa mengisytiharkan darurat di wilayah Canterbury selepas ribut musim bunga kuat melanda Pulau Selatan dan bahagian bawah Pulau Utara.

Ribut berkenaan membawa angin kencang serta hujan lebat yang menyebabkan penerbangan ke dan dari Wellington serta Christchurch dibatalkan, selain beberapa perkhidmatan kereta api digantung.

Beberapa kemudahan kerajaan seperti perpustakaan turut diarahkan tutup bagi menjamin keselamatan orang awam.

Agensi Pengangkutan New Zealand memaklumkan, beberapa laluan utama ditutup berikutan keadaan cuaca buruk, manakala gangguan bekalan elektrik turut dilaporkan di beberapa kawasan.

Dalam pada itu, pasukan bomba masih berusaha memadam kebakaran hutan di Hawke’s Bay, di pantai timur Pulau Utara, namun Jabatan Bomba dan Kecemasan wilayah itu memaklumkan kebakaran berkenaan kini berjaya dikawal.

Menurut agensi cuaca negara itu, amaran merah hanya dikeluarkan bagi kejadian cuaca yang paling ekstrem, dan orang ramai dinasihatkan untuk berlindung di kediaman masing-masing.

Beberapa bangunan kerajaan serta taman awam turut ditutup di kawasan paling terjejas bagi mengelakkan sebarang risiko. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN