fb fb fb fb fb

ICJ arah Israel mudahkan kemasukan bantuan ke Gaza, sediakan keperluan asas

Foto REUTERS

THE HAGUE, 23 Oktober – Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkan Israel memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza serta memastikan rakyat Palestin menerima keperluan asas untuk terus hidup.

Presiden ICJ, Yuji Iwasawa menegaskan Israel berkewajipan bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi-agensinya, termasuk UNRWA, dalam menyalurkan bantuan.

Namun, Israel menolak keputusan itu dan bertegas tidak akan bekerjasama dengan UNRWA, agensi PBB bagi pelarian Palestin, selepas menuduh sebahagian kakitangannya terlibat dalam serangan Hamas pada Oktober 2023.

ICJ mendapati Israel gagal mengemukakan bukti kukuh terhadap dakwaan tersebut.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menyifatkan keputusan itu sebagai penting dan berharap Israel akan mematuhinya.

Beberapa jam selepas keputusan diumumkan, Norway mengumumkan rancangan untuk mengemukakan resolusi kepada Perhimpunan Agung PBB bagi mendesak Israel menarik balik sekatan terhadap bantuan ke Gaza.

Sementara itu, Program Makanan Sedunia (WFP) memaklumkan sebanyak 530 trak membawa lebih 6,700 tan makanan telah memasuki Gaza sejak gencatan senjata bermula pada 10 Oktober, namun jumlah itu masih jauh daripada sasaran 2,000 tan sehari.

ICJ turut mengingatkan bahawa Israel sebagai kuasa pendudukan bertanggungjawab memastikan keperluan asas penduduk tempatan serta tidak menghalang penyaluran bantuan, selain menegaskan undang-undang antarabangsa melarang penggunaan kebuluran sebagai senjata peperangan. -AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN