FILIPINA, 24 Ogos- Lebih 500 penduduk di Cagayan, utara Filipina terpaksa dipindahkan ke lokasi lebih selamat, selepas ribut Tropika Ma-on yang membawa hujan lebat dan angin kencang, membadai wilayah berkenaan.
Dua penduduk cedera dihempap pokok tumbang.
Serentak itu, Presiden, Ferdinand Marcos Jr. mengisytiharkan pejabat kerajaan dan sekolah di Manila serta wilayah-wilayah terpencil ditutup sehingga rabu depan.
(Ribut Tropika Ma-on melanda di Cagayan, utara Filipina / Foto Reuters)
Setiausaha Akhbar Rose Beatrix Cruz-Angeles berkata penutupan meliputi wilayah Laguna, Rizal, Bulacan, Cavite, Zambales, dan Bataan di wilayah Luzon Tengah.
Bagaimanapun, penutupan untuk sekolah dan pejabat swasta diserahkan kepada budi bicara ketua masing-masing.
Dalam satu memorandum, Setiausaha Eksekutif Victor Rodriguez berkata penutupan sementara itu tidak termasuk agensi kerajaan yang terbabit dalam perkhidmatan kesihatan dan pencegahan bencana.
Biro cuaca turut memberi amaran kepada orang ramai untuk kekal berwaspada memandangkan ribut boleh mencetuskan hujan lebat, banjir kilat dan tanah runtuh di utara Luzon dan kawasan lain di tanah besar.
Pada April, ribut tropika Megi melanda Filipina dan mencetuskan tanah runtuh serta banjir menyebabkan 224 korban, dan 147 yang lain hilang.- Reuters