fb fb fb fb fb

Ribut salji : Beberapa kawasan di Bosnia-Herzegovina bergelap

FOTO HIASAN

SARAJEVO, 24 Disember- Beberapa kawasan di Bosnia - Herzegovina terputus sambungan manakala lebih 170,000 orang terputus bekalan elektrik pada Selasa akibat ribut salji yang melanda kawasan tersebut.

"Walaupun usaha dan kerja berterusan untuk membaiki kerosakan, keadaan bekalan elektrik semakin merosot. Pada masa ini, 127,000 premis tidak mempunyai bekalan elektrik," kata pengedar Elektroprivreda BiH.

Elektrokrajina, yang merangkumi kawasan di entiti Serb di Bosnia, Republika Srpska, juga mengumumkan bahawa kira-kira 50,000 penggunanya tiada bekalan elektrik.

"Semua pasukan di lapangan telah dikerahkan dan bekerja sejak awal pagi untuk membaiki kerosakan," kata syarikat tersebut.

Pada masa yang sama, di bahagian barat Bosnia, satu darurat diisytiharkan selepas cuaca buruk menyekat semua laluan masuk dan keluar ke kawasan Drvar, yang memutuskan hubungan dengan 17,000 penduduknya.

"Keadaannya sangat sukar. Salji terus turun. Orang ramai terperangkap dalam salji," kata Jasna Pecanac, Presiden Majlis Perbandaran Drvar, kepada media tempatan.

Timbunan salji di beberapa kampung sekitar Drvar mencapai ketinggian dua meter (6.5 kaki), dan ribut salji yang lebat menjadikan usaha pembersihan semakin sukar.

"Kami memohon bantuan untuk membersihkan salji. Semua jentera telah berada di lapangan," kata Pecanac.

Akibat salji lebat, sesi persekolahan di sekolah rendah di Banja Luka, bandar kedua terbesar di Bosnia dan Herzegovina dan pusat pentadbiran Republika Srpska, telah dibatalkan.

Pada hari sebelumnya, sesi persekolahan juga ditunda di sekitar 70 sekolah rendah dan menengah di Una-Sana Canton di barat laut Bosnia dan Herzegovina.

Sejak hari Selasa, salji lebat turut melanda Serbia yang berdekatan, menyebabkan gangguan trafik yang meluas dan masalah pada rangkaian elektrik.

Salji paling lebat turun di bahagian barat negara itu, di mana amaran merah telah dikeluarkan.

Di kawasan berbukit dan pergunungan di kawasan itu, ribut salji yang teruk telah menyebabkan banyak kerosakan pada rangkaian pengedaran elektrik.

Institut Hidrometeorologi Serbia mengeluarkan amaran bahawa salji lebat akan berterusan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE