fb fb fb fb fb

Ribut ragut 5 nyawa, lebih 100 cedera di Bengal Barat, India

Lokasi terjejas akibat ribut di Bengal Barat, India

NEW DELHI, 1 April- Sekurang-kurangnya lima orang maut dan lebih 100 cedera akibat ribut kuat di daerah Jalpaiguri, Bengal Barat, timur India pada Ahad.

Bencana itu merosakkan rumah, pokok tumbang dan memutuskan talian elektrik.

"Ribut melanda. Dalam masa dua-tiga minit, banyak rumah rosak. Lima mangsa maut dan dua orang cedera parah," kata Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee, yang melawat kawasan itu pada malam Ahad.

Beliau berkata kerajaan akan menyediakan pampasan kepada waris mereka yang terkorban.

Kira-kira 370 kilometer ke timur Jalpaiguri, sebahagian daripada siling di lapangan terbang Guwahati di negeri Assam, pintu masuk ke timur laut India, runtuh akibat hujan lebat pada Ahad.

Bahagian bumbung lapangan terbang yang runtuh itu sudah lama dan tidak dapat menahan kesan hujan lebat dan ribut secara tiba-tiba, kata seorang pegawai lapangan terbang.

“Silingnya pecah dan air mengalir ke dalam. Bagaimanapun tiada kecederaan dan semuanya terkawal,” kata pegawai kanan lapangan terbang, Utpal Baruah, kepada media tempatan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Lokapriya Gopinath Bordoloi di Guwahati diuruskan oleh konglomerat utama India, Adani Group.

Video yang tular di media sosial menunjukkan banjir di ruang perniagaan runcit.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN