JAKARTA, 1 April- Indonesia sedang meningkatkan usaha untuk membangunkan industri semikonduktornya sebagai antara pemacu ekonomi utama, sejajar dengan visi Indonesia Emas 2045, menurut Kementerian Koordinator Hal Ehwal Ekonomi.
Mesyuarat pertama Pasukan Petugas Penyediaan Ekosistem Semikonduktor telah berlangsung pada 28 Mac, menandakan permulaan era baharu perindustrian melibatkan semikonduktor termasuk elektronik seperti peranti automotif, industri, isi rumah, komunikasi, pengangkutan dan peralatan perubatan.
Timbalan Penyelarasan Kerjasama Ekonomi Antarabangsa, Edi Prio Pambudi berkata inisiatif ini bertujuan untuk mewujudkan iklim perniagaan yang kondusif dan menarik pelaburan seiring pelan hala tuju "Making Indonesia 4.0".
"Pasukan Petugas akan menangani keperluan industri semikonduktor yang semakin meningkat dan memupuk kerjasama untuk mempercepatkan pembangunannya," katanya yang juga ketua pasukan petugas dalam satu kenyataan.
Mesyuarat yang dihadiri pakar, profesional dan ahli akademik itu akan merangka strategi komprehensif, mengenal pasti cabaran pendigitalan dan keperluan untuk meningkatkan sumber manusia.
Sementara itu, Duta Besar Indonesia ke Jerman, Arief Havas Oegroseno memaklumkan kepakaran dan kesediaan Jerman untuk menyokong pelajar dan pakar di Indonesia.
"Jerman mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam industri semikonduktor dan kami bersedia untuk membantu pelajar dan pakar di Indonesia untuk mendapat peluang latihan, pendidikan lanjutan, dan juga latihan amali di syarikat semikonduktor terkemuka Jerman," katanya.
Mesyuarat itu turut menyaksikan penyertaan daripada pelbagai kementerian, institusi akademik dan perniagaan seperti PT Infineon Technologies Batam.- BERNAMA