GAZA, 13 Disember - Sekurang-kurangnya 13 orang telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu, termasuk tiga kanak-kanak yang maut akibat kesejukan, ketika ribut musim sejuk melanda wilayah itu, menurut Agensi pertahanan awam Gaza pada Jumaat.
Hujan lebat akibat Ribut Byron telah menenggelamkan khemah dan tempat perlindungan sementara di seluruh Gaza sejak lewat Rabu.
Keadaan tersebut sekali gus meningkatkan lagi penderitaan penduduk wilayah itu, selepas hampir semua penduduk dipindahkan susulan lebih dua tahun peperangan.
Agensi pertahanan awam Gaza, yang beroperasi sebagai pasukan penyelamat di bawah pentadbiran Hamas, memberitahu AFP bahawa tiga kanak-kanak itu maut akibat kesejukan iaitu dua di Gaza City dan seorang di Khan Yunis.
Hospital Al-Shifa di Gaza City mengesahkan kematian Hadeel al-Masri, berusia sembilan tahun, dan Taim al-Khawaja, yang menurut hospital hanya berusia beberapa bulan.
Hospital Nasser di Khan Yunis pula pada Khamis berkata Rahaf Abu Jazar, bayi berusia lapan bulan, meninggal dunia di kawasan perkhemahan sementara di Al-Mawasi akibat kesejukan.
Dalam pada itu, ribuan khemah dan tempat perlindungan buatan kini memenuhi kawasan yang telah dibersihkan daripada runtuhan susulan kemusnahan dan kerosakan bangunan di Gaza
Jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal, berkata enam orang maut selepas kediaman mereka runtuh di kawasan Bir al-Naja di utara Gaza.
Empat lagi maut dalam insiden berasingan, katanya.
Agensi Pertahanan Awam gaza turut memaklumkan pasukannya telah memberi respons terhadap panggilan daripada 13 rumah yang runtuh akibat hujan lebat dan angin kencang, kebanyakannya di Bandar Gaza dan utara Gaza.
Kementerian dalam negeri dan keselamatan negara yang ditadbir Hamas mengeluarkan angka awal 14 kematian akibat kesan hujan musim sejuk sejak Rabu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat memberi amaran bahawa ribuan keluarga kini berteduh di kawasan rendah atau tepi pantai yang dipenuhi runtuhan tanpa sistem perparitan atau perlindungan.
"Keadaan musim sejuk, ditambah pula dengan bekalan air dan sanitasi yang tidak memadai, dijangka menyebabkan peningkatan jangkitan pernafasan akut," tambah WHO.
Gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang berkuat kuasa pada Oktober lalu telah mengurangkan sebahagian sekatan terhadap kemasukan barang dan bantuan ke Gaza.
Namun, bekalan yang masuk masih tidak mencukupi, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), dan keperluan kemanusiaan kekal amat besar. - AFP